Ia bermula dengan minat dan rasa tanggungjawab
Ia diteruskan dengan ikatan perhubungan yang berfaedah
Ia tamat dengan memberi manfaat kepada semua.
Pendahuluan
Keterlibatan alumni dalam menyokong dan memberi sumbangan secara sukarela kepada sesebuah universiti adalah penting bagi mengekalkan dan memperkembangkan pembangunan sesebuah universiti. Dengan mewujudkan saluran yang mempermudahkan hubungan yang erat di antara alumni dengan pelajar dan universiti, ia dapat memberi faedah yang amat bermakna dalam memperkayakan pengalaman pelajar semasa berada di universiti tersebut. Setiap alumni melalui pengalaman daripada pelajar kepada graduan yang unik dan berbeza, justeru itu terdapat potensi untuk setiap alumni menyumbang kepada universiti dalam cara dan skala yang pelbagai.
Teladan dan inspirasi
Alumni adalah contoh teladan yang berkesan dan mudah diterima oleh pelajar. Dengan kembalinya alumni semula ke universiti untuk membantu, mereka membawa bersama kredibiliti dan justifikasi sebagai sebahagian daripada universiti yang berjaya setelah bernafas dalam udara yang sama dan melalui cabaran yang serupa yang dilalui oleh pelajar-pelajarnya.
Pengalaman yang dikongsi oleh alumni dengan pelajar sama ada dalam soal pengurusan masa dan kewangan, pembentukan sahsiah diri dan watak mahupun bidang kerjaya dapat diterima dengan lebih baik sebagai panduan dan dijadikan inspirasi oleh pelajar. Dengan cara tersebut juga alumni dapat membantu memperkukuhkan lagi keyakinan, menyalurkan semangat dan menyemai budaya seperti mana hasrat yang universiti ingin sampaikan kepada generasi pelajarnya.
Mentor kerjaya
Persaingan untuk memasuki bidang kerjaya semakin mencabar berikutan dengan pengeluaran graduan dalam jumlah yang banyak berbanding penawaran pekerjaan. Peluang pekerjaan adalah lebih kritikal dalam sektor pekerjaan tertentu. Apabila tiba di tahun akhir pengajian pelajar terpaksa memikirkan secara lebih serius mengenai soal kerjaya mereka. Inilah waktu yang sesuai untuk alumni berperanan dengan memberi khidmat mentoring tentang peluang-peluang pekerjaan yang ada di dalam industri dan membuka ‘laluan’ bagi pelajar diterima masuk sama ada untuk menjalani latihan praktikal atau menimba pengalaman bekerja di institusi di mana alumni berada.
Alumni boleh menjadi panel rujukan kepada fakulti berkenaan bagi menyediakan keperluan pelajar dan graduan untuk menempatkan diri di bidang kerjaya tertentu. Kurikulum pengajian di universiti boleh ditambahbaik supaya lebih mantapagar dapat memenuhi aspirasi kerjaya yang berkaitan.
Menyumbang kepakaran
Selain itu alumni boleh menyumbang kepakaran mereka dalam bidang yang berkaitan dengan profesion mereka bagi membangunkan program-program pengajian baru di universiti. Kehadiran alumni sebagai pensyarah jemputan, ahli jawatankuasa penasihat, pakar-pakar industri dan rakan kongsi projek usahasama dengan universiti menyambung ‘perjuangan’ mereka untuk menjayakan pembangunan alma mater.
Dalam bidang penyelidikan industri, alumni boleh membuka pintu bagi universiti untuk masuk kepada rangkaian industri mereka sama ada di dalam negara mahupun di luar negara dalam aspek jalinan kerjasama dan perkongsian pintar. Ini memberi peluang kepada universiti untuk memakmurkan bidang industri tertentu melalui aplikasi teori yang telah dianalisa dan diuji bersama-sama dengan pakar-pakar industri yang lain.
Kejayaan pemindahan pengetahuan akan meningkatkan lagi kapasiti dan reputasi universiti tersebut dengan signifikan di persada nasional dan antara bangsa.
Akses peluang pembangunan profesional
Komuniti alumni senior yang berjaya boleh menjadi medium yang berkesan untuk menyambungkan secara berterusan bukan sahaja universiti dengan graduan malahan dengan alumni yang lebih muda juga.
Apabila komuniti alumni berjaya dan mendapat pengiktirafan di kalangan korporat, industri dan masyarakat, ia berupaya mewujudkan jaringan yang lebih kukuh serta kepercayaan terhadap universiti dan seterusnya turut membantu alumni yang lebih muda daripada universiti tersebut mengakses peluang untuk membangunkan kerjaya dan profesionalisme mereka.
Kini banyak universiti yang komited dalam menyediakan pendidikan berterusan yang dapat membantu mempertingkatkan kerjaya kepada graduannya yang bekerja iaitu dengan menawarkan kursus-kursus pengajian pasca siswazah yang sesuai kepada alumni yang tamat pengajian ijazah pertama dan kedua.
Mengukuhkan usaha pengambilan pelajar
Alumni boleh menggalakkan pelajar terutama daripada kalangan keluarga dan rakan-rakan untuk mempertimbangkan sesebuah universiti sebagai pembekal pendidikan mereka. Alumni boleh menunjukkan kepada pelajar bagaimana seterusnya untuk menceburi bidang kerjaya apabila tamat pengajian nanti. Pengalaman di universiti tersebut dan kejayaan alumni dalam pekerjaan adalah hasil yang nyata yang boleh menjadi faktor penentu bagi pelajar dalam membuat keputusan tersebut.
Selain itu sukarelawan alumni boleh menjadi duta yang terlibat secara aktif untuk membantu dalam mengukuhkan usaha pengambilan pelajar yang dilaksanakan oleh jabatan yang terlibat dengan kemasukan pelajar ke universiti. Usaha tersebut boleh digerakkan sama ada di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa bergantung kepada potensi dan kedudukan alumni.
Merangsang pengumpulan dana amanah
Alumni terutamanya daripada golongan yang lebih senior yang merupakan generasi yang lebih stabil daripada sudut ekonomi berupaya untuk membantu meringankan beban kewangan pelajar-pelajar yang miskin di universiti. Ianya seumpama menyalakan lilin kehidupan yang memberi kesan yang bermakna kepada kelangsungan perjuangan hidup yang lebih baik bagi pelajar-pelajar tersebut.
Persatuan alumni yang aktif dan berdaftar boleh merangsang pengumpulan dana amanah yang bertujuan untuk menubuhkan biasiswa, menyokong aktiviti pelajar, program kebudayaan dan ekspedisi persatuan dan kelab universiti, membantu penyediaan prasarana untuk pelajar daripada golongan kurang upaya (OKU) dan menyokong penambahbaikan yang inovatif di universiti.
Universiti Harvard dan Universiti Al Azhar merupakan antara contoh universiti yang mempunyai jumlah dana amanah di antara yang terbesar di dunia yang sebahagian besarnya disumbangkan oleh alumni. Dana wakaf ini telah mengupayakan penganjuran program-program terkemuka, penemuan penyelidikan saintifik dan melahirkan beratus-ratus profesor dalam pelbagai kepakaran akademik.
Menyokong reputasi universiti
Pandangan dan kenyataan positif yang alumni berikan berkaitan dengan universitinya yang disalurkan sama ada melalui media atau forum tertentu adalah merupakan sokongan kepada reputasi universiti tersebut. Ianya berupaya mempengaruhi masyarakat kerana persepsi umum bahawa alumni lebih memahami cabaran institusi di universiti tersebut melalui beberapa tahun tempoh kehidupan yang telah dijalani di sana.
Alumni yang berkhidmat dengan jayanya dalam pelbagai sektor sama ada di dalam negara mahupun di luar negara telah mengesahkan kualiti dan keberkesanan program pengajian, penyelidikan dan komuniti universiti tersebut. Semakin berpengaruh kedudukan alumni tersebut dalam kerjaya dan kehidupannya semakin tinggi pengiktirafan masyarakat terhadap universiti yang dikaitkan dengan mereka.
Penutup
Peranan alumni adalah penting dalam pembangunan sesebuah universiti. Setiap alumni boleh memberikan pelbagai sumbangan berbilang perspektif yang bermanfaat kepada pelajar, graduan, alumni, universiti dan masyarakat.
Pandangan alumni untuk memajukan universiti dan cadangan penyelesaian terhadap cabaran yang dihadapi universiti adalah amat berharga bagi universiti mencapai visi dan matlamat masa depan universiti. Alumni merupakan aset kepada universiti dan sumbangan serta penglibatan mereka berupaya menaikkan reputasi sesebuah universiti di peringkat nasional dan juga antarabangsa.
Di samping itu, dalam rangka memperkasakan pembangunan sesebuah negeri khususnya dan negara amnya, alumni yang berjaya merupakan modal sosial bagi perpaduan masyarakat dan penentu utama bagi pertumbuhan dan pembangunan ekonomi.